19 Dis 2016

Sinopsis Drama Diari Cinta Kita

Sinopsis Drama Diari Cinta Kita Slot Azalea TV9 & TV3 

Assalammualaikum..
Drama Diari Cinta Kita sudah mula disiarkan sejak 16 Disember yang lalu menggantikan Drama Ainur Mardhiyah yang telah tamat episodnya. Drama ini dilakonkan oleh Fezrul Khan, Tasha Shila, Ayu Raudhah, Reen Rahim, Shajiry, Bell Ngasri, Dato Ahmad Tarmimi Siregar, Nor Albaniah, Azlee Senario dan ramai lagi. Drama 20 episod ini diarahkan oleh Nazir Jamaluddin dan diterbitkan oleh Sekutu Saujana Production Sdn Bhd. Kalau tengok dari sinopsis cite ni, memang nampak macam menarik jer drama ni kan sebab penuh konflik kerana ianya berkisarkan tentang kehidupan bermadu. Apapun jom layann sinopsis cite ni kat bawah k..

Sinopsis Drama Diari Cinta Kita

Penulisan di dalam diari bukan lagi satu perbuatan yang diamalkan oleh orang zaman sekarang dek kemajuan teknologi yang sudah mengambil alih. Namun, tidak lapuk bagi seorang doktor pakar puan yang bernama Doktor Aqilah. Baginya, diari yang ditulis itu adalah perjalanan hidupnya bersama orang-orang di sekelilingnya. Segala yang tersurat itu ditulis dari hatinya selepas bergelar isteri kepada seorang lelaki yang penyayang dan baik hati bernama Hakim. Walaupun Hakim seorang yang romantik, tetapi dia tidak boleh memenuhi segala permintaan dan meluangkan masa sepenuhnya dengan Aqilah kerana Aqilah berkongsi kasih dengan Nurul Iman. Doktor Aqilah pada mulanya ingin menyembunyikan perkahwinannya dengan suaminya kerana tidak mahu melukakan hati isteri pertama Hakim, Nurul Iman. Tambahan lagi, Aqilah tidak sanggup memberitahu kebenaran kepada Nurul Iman yang juga merupakan kawan baiknya. Nurul Iman dan Hakim sudah 7 tahun berkahwin namun mereka belum dikurniakan anak. Pelbagai usaha telah mereka lakukan untuk mendapatkan anak tetapi hasilnya tetap tiada. Walaupun tidak mempunyai cahaya mata, hidup mereka berdua seperti pengantin baharu dan tetap romantik setiap hari. Setelah Nurul Iman disahkan mengidap kanser usus tahap satu, dia mula murung. Hakim telah mengambil cuti demi menjaga isterinya buat sementara waktu. Walaupun tertekan, Hakim berjanji bahawa dia tidak akan sekali-kali tinggalkan Nurul Iman walau apa pun yang bakal berlaku pada masa hadapan. Hidup matinya hanya untuk Nurul Iman.


Nurul Iman terharu dengan kasih sayang dan perhatian yang diberikan oleh Hakim. Dia telah mendapat semangat baharu dan bertekad menjalani rawatan untuk sembuh. Hakim lebih kerap menemani Nurul Iman. Di situlah permulaan perkenalan Hakim dengan Doktor Aqilah yang merawat Nurul Iman. Kasih sayang yang ditunjukkan oleh Hakim dan Nurul Iman membuatkan Doktor Aqilah mula menyimpan perasaan terhadap Hakim. Walaupun dia sedar bahawa dia sudah bertunang dengan seorang lelaki lain, tetapi dalam hatinya ialah Hakim. Kekerapan pertemuan mereka untuk rawatan Nurul Iman menyebabkan Hakim dan Doktor Aqilah semakin rapat. Mereka bertiga sering keluar bersiar-siar dan menghabiskan masa bersama. Hakim juga tertarik dengan ketulusan dan kebaikan Doktor Aqilah. Mereka berdua cuba mengawal perasaan kerana tidak sanggup melukakan hati Nurul Iman. Akhirnya Hakim dan Aqilah berkahwin tanpa pengetahuan Nurul Iman. Mereka berdua meneruskan hidup seperti biasa tetapi Hakim tidak pernah bermalam di rumah Aqilah. Menjadi isteri kedua kadang kala membuatkan Aqilah sunyi. Oleh itu, Aqilah melepaskan semua isi hati di dalam diarinya. Saat Nurul Iman mengetahui kebenaran tentang suaminya dan kawan baiknya, hatinya hancur luluh seolah-olah tidak boleh menerima kebenaran bahawa dirinya telah dimadukan. Sejak itu, Nurul Iman tidak lagi meneruskan rawatannya. Aqilah rasa bersalah kerana dia menganggap dirinya sebagai punca penyakit Nurul Iman menjadi mudarat. Dia juga menyesal kerana mengkhianati Nurul Iman. Aqilah telah meluahkan perasaannya dan menulis dalam diarinya. Apakah yang akan terjadi kepada Nurul Iman? Adakah keputusan Hakim dapat memberikan kebahagiaan kepada dua perempuan yang amat dikasihi? Apakah yang tersimpan dalam diari Aqilah?

3 ulasan:

Terima Kasih kerana sudi meninggalkan komen anda di sini. Sila komen dengan berhemah yer.