-->

8 Nov 2012

Bila P.RamLee Sudah tiaDa...

Assalammualaikum..
hari tuh masa godek2 internet terjumpa video hari ini dalam sejarah yg menceritakan serba sedikit mengenai Kematian P.Ramlee serta ditunjukkan juga suasana sedih dan pilu mengiringi pemergian P.Ramlee yg tidak disangka-sangka ketika itu..semuanya kelihatan terkejut dan sedih..tengok jela video kt bawah ni yer..


kemudian aku terjumpa satu artikel mengenai P.Ramlee ni..jom membaca dan menghayatinya..sedih plak aku membacanya..sebak..sob sob...huhuhu artikel ini diambil dari sini->SumBeR
KENANGAN BERSAMA TAN SRI P.RAMLEE
Oleh Zainuddin Maidin (Mantan Menteri Penerangan Malaysia)


SAYA tidak boleh mendakwa sebagai seorang wartawan yang rapat dengan Seniman Agung P. Ramlee seperti wartawan- wartawan yang memulakan karier mereka di Singapura sejak awal tahun 50-an ketika bintang seniman itu mula bersinar . 
Cuma sekali pada awal tahun 60-an kami wartawan-wartawan dari Kuala Lumpur secara kebetulan bertemu P. Ramlee di Pantai Motel, Kuala Terenganu (sekarang Park Royal Primula) ketika mengikuti lawatan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak ke Terengganu. Bila mengetahui kami adalah wartawan P. Ramlee duduk dan bercerita panjang dengan kami.
Kesan pertemuan pertama itu ialah saya mengingati P. Ramlee di usia mudanya sebagai sebagai seorang lelaki yang kacak, wajahnya kemerahan, tampan, gagah, pandai bercerita dengan cara yang menarik dan tidak menjemukan. Beliau tidak sahaja menarik di dalam filem tetapi juga di luar dalam dirinya yang sebenar, lengkap dan sempurna sebagai seorang seniman. Anda boleh duduk berjam-jam mendengarnya bercerita tanpa jemu. Ramai juga seniman yang saya jumpa perwatakannya kaku dan pendiam di luar sekalipun begitu hebat dalam lakonan.
Sejak pertemuan di Primula itu saya tidak menemuinya lagi kecuali setelah sinaran bintangnya mulai pudar apabila berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1966 dan beliau menjadi teman karib Osman Abadi, Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu yang juga seorang penulis skrip filem dan drama yang prolifik.
 
P. Ramlee sering datang menemui Osman di pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur dan kerana bilik Osman bersebelahan dengan bilik saya maka saya kerap melihat P. Ramlee sering menghabiskan masanya berjam-jam bercerita dengan Osman.
Oleh kerana kesibukan sebagai Pengarang Berita, saya tidak berkesempatan untuk menjalin hubungan rapat dengannya. Hal ini saya kesalkan hingga sekarang kerana melepaskan peluang untuk mendekati orang yang sukar untuk dicari ganti.
Beberapa episod pertemuan pendek dengan P. Ramlee meninggalkan kenangan yang mendalam kepada saya, mungkin kerana saya tidak banyak berinteraksi dengannya dan pengalaman sesekali bertemu sepintas lalu menjadi begitu berharga.
Suatu insiden yang tidak mungkin saya lupakan ialah apabila saya menyinggung perasaannya ketika menghantar Osman Abadi untuk lawatan ke Amerika Syarikat pada penghujung tahun 60-an. Turut menghantar ialah Sasterawan A. Samad Said dan isteri dari Berita Harian dan wartawan- wartawan Utusan antaranya Zakri Abadi, Subky Latiff (sekarang orang kuat Pas), Ali Salim Ketua Penyunting dan lain-lain lagi anggota Jabatan Pengarang Utusan Melayu.
Ketika itu P. Ramlee telah mulai dilupakan kerana televisyen telah memberi kesan kepada panggung wayang. RTM satu satunya stesen televisyen pada masa itu kurang memberikan kesempatan kepada P. Ramlee untuk programnya sendiri kecuali menayangkan semula filem-filem lamanya. Di samping itu kemunculan pop yeh yeh (penyanyi tahun 60-an) juga telah melindungi P. Ramlee.

Saya lalu bertanya kepada P. Ramlee "kenapa che Ramlee tidak muncul di televisyen, sekarang orang tidak lagi melihat filem di panggung-panggung wayang seperti dahulu".
Di luar jangkaan saya pertanyaan dan kenyataan saya itu menimbulkan kemarahannya menyebabkan beliau terus menjawab "You ingat muka I ni murah ke ? Orang macam you tak tengoklah, tetapi orang kampung, petani dan nelayan masih melihat saya. Orang tengok televisyen, orang pergi kencing, pergi buang air besar, orang tidak tumpu macam tengok filem di panggung wayang, orang tak tinggalkan kerusi."
Saya tahu telah menyentuh perasaannya, tetapi saya tidak berniat untuk merendahkannya
 
LAKONAN
Tidak lama kemudiannya RTM menayangkan gambar lakonan P. Ramlee, Orang Bunian dan secara kebetulan esoknya saya ke Pasar Chow Kit dengan membawa anak perempuan saya yang berumur kira- kira lima tahun. Secara kebetulan terjumpa dengan P. Ramlee sedang minum di Restoran Yusoff Suria berhampiran dengan pasar itu. Saya terus bertanya pada anak saya sama ada kenal atau tidak orang ini? Anak saya terus mengenalinya "Orang Bunian, P. Ramlee". 
Sejak itu P.Ramlee kembali berbaik-baik dengan saya. Saya menyedari hakikat betapa perasaan seniman mudah terluka dan juga mudah disembuhkan dengan penghargaan yang ikhlas.
Bila beliau meninggal pada 29 Mei 1973, saya bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Melayu Pulau Pinang. Saya tidak tahu tentang kematiannya sehingga malamnya setelah Allahyarham dikebumikan kerana pada hari itu saya ditugaskan ke Thailand oleh Ketua Pengarang Mazlan Nordin (Tan Sri).
Ketika sarapan malam isteri saya secara bersahaja memberitahu bahawa P. Ramlee mati. Saya tergamam, tidak dapat lagi menyuap nasi ke mulut. Suatu perasaan yang sukar untuk dimengertikan tiba-tiba menyelubungi jiwa, perasaan kesayuan dan kesepian yang amat memilukan 
 

Isteri saya tidak mengerti perasaan saya ketika itu. Saya tinggalkan meja makan dan pergi ke ruang tamu dan menangis panjang seorang diri. Saya dimaklumkan oleh Osman Abadi beberapa jam sebelum kematiannya pada jam empat pagi 29 Mei 1973, P. Ramlee telah menelefonnya ketika beliau sedang menyiapkan skrip filem Azizah untuk arahan dan terbitan P. Ramlee. Osman tidak dapat memenuhi permintaannya untuk keluar bersama malam itu tetapi telah meminta beliau menyanyikan lagu Azizah untuk mendapat ilham dan penghayatan. Apabila menerima berita kematian itu, Osman terpaksa dipapah untuk menelefon Ketua Pengarang Utusan Melayu Mazlan Nordin.
Saya tidak tahu apa yang berlaku di Kuala Lumpur tetapi di Pulau Pinang pejabat Utusan Melayu di Jalan Argyll didatangi ramai orang yang mahu menyatakan perasaan sedih mereka. Kematiannya lebih dirasakan di Pulau Pinang tempat kelahirannya selain menggemparkan dan mengharukan perasaan peminatnya di seluruh negara.
Berita telah disampaikan kepada saya tentang ada orang tercedera kerana tanpa sedar terjun menerusi tingkap untuk memberitahu jirannya tentang kematian P. Ramlee bila mendengar beritanya di radio.

Anak-anak muda memainkan lagu lagunya sepanjang hari seolah-olah hendak menafikan kematiannya.
Kisah hidup P. Ramlee melariskan jualan akhbar-akhbar Melayu berbulan lamanya sejak lepas kematiannya, tetapi ada juga seorang dua yang menganggap diri mereka sebagai intelektual telah mengecam akhbar- akhbar yang terbawa dalam arus perasaan ini.
 
 P RAMLEE vs POP YEH YEH
Kira-kira sebulan sebelum kematiannya P. Ramlee mengadakan pertunjukan di Butterworth yang dibanjiri oleh lebih 40,000 penonton yang seolah-olah hendak menunjukkan kemarahan orang Pulau Pinang terhadap pihak yang menganggap P. Ramlee sudah tidak laku lagi kerana adanya pop yeh yeh. Malam itu tentunya P. Ramlee yang juga sedang dapat merasakan zaman menurunnya telah kembali bersemangat.

Perasaan kehilangan, kesedihan, kemurungan, kesayuan, kepiluan dan keharuan atas kehilangan seniman agung ini menyapu perasaan pelbagai peringkat masyarakat di seluruh negara lebih sebulan lamanya. 
Hampir sebulan selepas kematian P. Ramlee , pejuang kemerdekaan Pak Sako (Ishak Haji Muhammad ) mencatitkan dalam ruangan mingguannya "Itu Ini dan lain-lain" dalam Utusan Melayu "entah kenapa aku merasakan hari-hari yang sungguh sepi."
Demikianlah perasaan manusia terhadap kehilangan seorang manusia yang telah berjaya membina tugu dalam diri mereka dengan keupayaannya berada dalam tangis dan tawa mereka, kebencian dan kecintaan mereka, keindahan cinta dan kekecewaannya, kebinatangan dan kemanusiaannya.

Tugu P. Ramlee berada dalam jiwa mereka kerana beliau dapat melakonkan dan merasakan apa yang dilakukan dan dirasakan manusia setiap hari dalam kehidupan yang sebenar. Mereka merasakan P. Ramlee adalah mereka.
Lebih 10 tahun selepas kematiannya perbincangan berterusan di dalam media dan juga di kalangan pemimpin politik , budayawan dan sasterawan tentang apakah yang seharusnya dibuat untuk membina kenangan abadi kepada seniman agung P. Ramlee tetapi tidak menghasilkan sebarang tindakan dan pelaksanaan yang konkrit yang benar benar bernilai dan berkesan yang boleh diingati oleh orang ramai setiap masa. Berbagai jawatankuasa juga ditubuhkan untuk tujuan itu.
Saya telah memberitahu Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir tentang keadaan ini ketika beliau menghadiri malam keluarga Utusan sempena 43 tahun Utusan Melayu di Dewan Nirwana Hotel Hilton Kuala Lumpur pada 6 Jun 1983.
Mahathir memberitahu saya bahawa beliau akan mengambil langkah segera yang benar benar berkesan bagi memperingati jasa seniman agung itu.
Sekalipun ini hanya merupakan bualan saya dengannya tetapi saya telah jadikannya sebagai berita utama Utusan Malaysia keluaran 17 Jun 1983 bertajuk "Mahathir Mahu Langkah Berkesan Kenang Seniman Agung P. Ramlee."
Berikutan dengan itu pada 6 Julai 1983, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Dr. Elyas Omar mengumumkan bahawa Jalan Parry yang merupakan sebuah jalan utama di kawasan perdagangan mahal di ibu kota akan ditukarkan namanya ke Jalan P. Ramlee. Katanya dengan itu setiap orang yang melaluinya akan mengenangnya dan menjadikan P. Ramlee dikenang sepanjang masa. 
Pada 14 Julai nama P. Ramlee secara rasmi mengambil tempat di jalan yang penting di ibu negara itu.
Utusan Malaysia 17 Julai 1983 melaporkan "Bagi Mahathir yang mengenali P. Ramlee sebagai seorang yang rajin dan dedikasi terhadap kerjanya menganggap Allahyarham benar-benar seorang seniman rakyat kerana walaupun telah 10 tahun meninggal dunia tetapi masih terus di minati oleh semua generasi tua dan muda."

Kata orang, SENIMAN AGUNG ITU TIDAK PERNAH MATI..

 

21 ulasan:

  1. Seniman P.Ramlee adalah seniman yg berjaya melangkau masa...

    BalasPadam
  2. sebak bila baca..
    mmg susah nak cari ganti pelakon seniman mcm arwahkan..

    apapun kita sedekahkan alfatihah buat arwah..

    BalasPadam
  3. ala miss banu video xkuar la pulok..hadoiiii

    BalasPadam
  4. kan.. :(

    seniman dikenang sepanjang zaman gitu.

    BalasPadam
  5. kak pena baca buku kisah hidup p.ramlee

    BalasPadam
  6. sedihnya...itu lh seniman yg tidak akn hilang dek zaman ^^

    BalasPadam
  7. ya allah dialah seniman agong...cerita dia best..dan law nak tahu mase kina blajar music dulu....cikgu cakap dalam dunia nyh suare piramli je suare bass yang paling dalam..:)

    dah xdek lagi dalam dunia nyh..huhu:)

    alfatihah buat arwah:)

    BalasPadam
  8. baru tahu kisah arwah p ramlee arini... smoga rohnyer d cucuri rahmatNya...

    filem lakonannya smuamelekat dihati..bait2 dialog disukai & diingati smpai generasi skarang.

    BalasPadam
  9. pernah tengok dokumentari psl beliau ni..sedih cerita P Ramlee ni..sbbnya selepas ketiadaan beliau brlah msyrkt ambil peduli psl beliau :(

    BalasPadam
  10. Seniman yg takkan ada tukar gantinya...beliau la lagenda sepjg zaman...ulang2 tgk filemnya pun x pernah boring kan...

    BalasPadam
  11. karya beliau xpena mati~

    eca BW sambil ajak join GA & Contest...
    http://www.ecadwinkyasha.com/2012/11/year-end-giveaway-2.html

    http://www.ecadwinkyasha.com/2012/10/eca-year-end-contest.html

    BalasPadam
  12. Al-fatihah buat arwah....Akak suka tengok filemnya...dialog lakonannya akak ingat jugak...sedih baca kisahnya..

    BalasPadam
  13. ai suka filem2 Tan Sri P.Ramlee..smp skang kalo ada mesti tgk tambah2 cita dia suma lawak2 :)

    BalasPadam
  14. sedih kak fieda tgk video tu..Al fatihah..

    BalasPadam

Terima Kasih kerana sudi meninggalkan komen anda di sini. Sila komen dengan berhemah yer.

My Random Post

Design By Sis Hawa | Copyright Reserved By Miss Banu 2009-2017