-->

19 Mac 2010

PuLaU PiNaNg:TaPaK wAriSaN DuNiaAA..


Pemalsuan sejarah awal di Georgetown Oleh A Murad Mericanmurad@perdana.org.my 2010/03/14

Pengiktirafan Tapak Warisan Dunia padam warisan Melayu di Pulau Pinang IMEJ budi dan jiwa Melayu terserlah dan tersebar luas di serata dunia bagaikan menyuluh dalam terang kecuali di Pulau Pinang. Pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) kepada Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia adalah satu pemalsuan sejarah. Ia memadamkan alam Melayu dan Islam itu sendiri di sebuah rantau yang dulunya sebahagian daripada Kesultanan Kedah.


Batu Uban dan Tanjong Tokong juga warisan sejarah Melayu dan negara. Kedua-dua penempatan ini adalah manifestasi sejarah hidup alam Melayu. Kedua-dua penempatan ini memainkan peranan yang kritikal dalam membangunkan Tanjung dan menyumbang kepada warna kehidupan ekonomi dan budaya Georgetown itu sendiri. Antara mereka yang berasal dari sekitar Batu Uban dan Jelutong (juga sebuah penempatan Melayu awal) ialah Syed Mohamad Alatas. Alatas Mansion yang terletak di Armenian Street memuatkan Muzium Islam Pulau Pinang (muzium haji) pernah dimiliki Syed Mohamad, yang pada lewat abad ke-19 terbabit dalam pergerakan antipenjajahan Belanda dalam alam Melayu.


Seorang lagi yang terkenal di Pulau Pinang pada satu masa dulu ialah Syeikh Aziz Yamani, yang pernah memiliki sebuah rumah warisan di Hutton Lane yang akan menempatkan Muzium Melayu. Syeikh Aziz berasal dari Jelutong, dan Batu Uban. Kedua-dua adalah keturunan Melayu-Islam awal yang menerokai Pulau Pinang sebelum kedatangan Inggeris. Saya sangsi apakah Unesco dimaklumkan kewujudan alam Melayu Pulau Pinang ketika menilai tapak warisan Lebuh Acheen-Armenia dan kawasan sekitarnya?


Ini bukan soal fakta. Fakta dan maklumat sudah wujud. Ini bukan soal bukti. Cuma bukti sejarah itu dipinggirkan. Ini soal representasi – paparan dan bagaimana Melayu ditonjolkan (atau tidak) dalam sejarah Pulau Pinang, sejarah negara dan sejarah dunia. Orang Melayu awal Pulau Pinang biasanya disebut sebagai gerombolan nelayan yang singgah atau disebut bahawa mereka datang dari Kedah. Paparan itupun salah. Mereka memang orang Kedah. Saya beri satu contoh paparan. Kali ini dalam brosur American Express – Penang Heritage Trail. Rujukan kepada Melayu di pulau ini dibuat di bawah bahagian ‘200 Years of Multicultural History’. Perenggan pertama ditulis seperti berikut: Penang was part of the Sultanate of Kedah until Captain Francis Light established the British trading post... Light first landed in 1786. He supposedly encouraged the local inhabitants to clear the ironbwood trees by firing coins out of the cannon into the forested swamp.


(Terjemahan: Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kesultanan Kedah sehingga Kapten Francis Light menubuhkan pusat perdagangan British. Light mula mendarat pada 1786. Beliau kononnya menggalakkan penduduk tempatan menebang pokok cengal dengan menembak meriam menggunakan wang syiling ke atas kawasan hutan paya itu). Daripada petikan itu, kita lihat percanggahan yang amat nyata. Jika sudah ada penduduk tempatan (sumbernya daripada tulisan dan catatan Light sendiri) sebelum datangnya Francis Light, maka sudah tentu pada logik dan pemikiran rasional kita, adanya sejarah dan warisan penduduk tempatan Melayu-Islam juga. Sejarah Pulau Pinang bermula lebih lama daripada 1786. Apakah Melayu di Pulau Pinang sebelum 1786 disebut sebagai ‘a band of natives’ saja yang tiada sejarah? Jelas, banyak penulisan/catatan seperti itu dan dalam buku ilmiah mempamerkan satu penghinaan kepada Melayu dalam sejarah Pulau Pinang. Sesi Pengisahan Melayu di Pulau Pinang,


sebahagian daripada The Penang Story 2002, serta beberapa kertas kerja menyentuh asal usul Melayu Pulau Pinang amat menyedihkan dan memalukan. Ia mendaifkan dan menafikan satu identiti dan tamadun kepada kedudukan dan kewujudan Melayu di Pulau Pinang. Wacana persejarahan dan wacana popular meminggirkan tamadun awal Melayu di Pulau Pinang. Sebelum saya melontarkan beberapa cadangan, saya ingin mencatatkan rasa dukacita kepada pihak berwajib kerana membiarkan peminggiran sejarah kedua-dua penempatan awal berkenaan. Kawasan kampung Batu Uban sebagai contoh, wujud pada awal 1700 dalam jalinan perhubungannya dengan Batu Bara di Sumatera dengan sebuah masjid (1734) dan kawasan perkuburan yang menjadi bukti alam Melayu-Islam itu sudah sekian lama dipinggirkan. Malah keluasan kampung itu pun dengan mengecil kelilingi dengan bangunan tinggi.


Mengapa ini dibenarkan pihak berkuasa, termasuk kerajaan tempatan? Saya menyeru Kerajaan Pusat, terutama Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan menerusi jabatan dan agensinya mempertahankan kedua-dua kampung berkenaan daripada hilang daripada peta Malaysia dan alam Melayu. Juga pertubuhan bukan kerajaan yang berkepentingan Melayu perlu tampil ke hadapan dengan perancangan rapi dan berpemikiran jauh. Kita tidak boleh mengharapkan badan warisan tersedia ada. Apakah kita ingin biarkan kubur dan masjid hampir 300 tahun itu dimusnahkan dengan sekelip mata saja?


Beberapa tindakan perlu diwujudkan dalam mengubah dan mengembalikan beberapa nama tempat di Pulau Pinang kepada nama asal Melayu. Banyak nama tempat dan jalan sudah ditukar. Kita khuatir alam Melayu Pulau Pinang kian dilihat seperti ‘ghetto’ akibat pertembungan kemiskinan ekonomi dengan kemiskinan sejarah. Penulis ialah pengkaji sejarah Melayu Pulau Pinang
sumber:Berita Minggu

Hehe..saja letak artikel ni..sekurang-kurang dapat gak ilmu kan..yela asyik cite pasal hal personal je kan..sekali sekala..kena la baca benda ilmiah cmni..kurang2 kita dpt gak tahu serba sedikit sejarah P.Pinang kan..yg sekarang ni tgh hngat dgn pelbagai isu dan masalah dlm hal2 pentadbirannya ..

Apa pn tepuk dada tnyalah selera….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima Kasih kerana sudi meninggalkan komen anda di sini. Sila komen dengan berhemah yer.

My Random Post

Design By Sis Hawa | Copyright Reserved By Miss Banu 2009-2017