Assalammualaikum..semua..
esok kita semua akan menyambut Hari Malaysia (16 September 1963)yg mana menyaksikan penggabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan akhirnya membentuk Malaysia seperti hari ini..Singapura juga termasuk dalam penggabungan Malaysia pada tahun 1963 namun akhirnya Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965..so kat sini saya nak ucapkan Selamat menyamBut Hari Malaysia pada seluruh pembaca Blog saya yang x seberapa ini..so entry untuk kali ni mestilah berkaitan dgn Sejarah kan dan patriotik sikit hehehe..
jom baca artikel dibawah ni k..n hayati sebaik-baiknya ^_^
JIKA diteliti dan difahami pendidikan sejarah bertujuan memupuk dan memperkukuh semangat setia negara dan jati diri sebagai warga negara Malaysia dan warga dunia. Melalui pengetahuan dan pengajaran sejarah serta penghayatan sejarah tanah air dan sejarah luar yang berkaitan, pelajar dapat memahami keadaan masyarakat dan negara serta hubungannya dengan sejarah dunia.
Selanjutnya, usaha ini untuk mewujudkan semangat perpaduan dan kekitaan bangsa dan negara Malaysia. Jika selama ini semangat itu telah disemai, dipupuk dan dibaja ia seharusnya diperkukuhkan lagi bagi menghadapi era globalisasi yang semakin mencabar.
Sejarah juga dapat mewujudkan ingatan bersama terhadap peristiwa sejarah sebagai rangka rujukan kesedaran kebangsaan dan persefahaman.
Sejarah mengajar kita supaya tidak mengulangi kesalahan dan kelemahan yang menjadikan sesebuah negara itu mudah dijajah pemikiran, budaya dan negaranya.
Oleh itu, sewajarnya langkah kerajaan memperkenalkan semula mata pelajaran di peringkat sekolah rendah dan mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai syarat penting dalam kelulusan peperiksaan Sijil pelajaran Malaysia (SPM). Langkah ini bukan saja menjadikan mata pelajaran Sejarah akan dipelajari dengan bersungguh-sungguh malah akan difahami dan dihayati secara mendalam.
Sebenarnya, mata pelajaran Sejarah dapat memupuk jati diri, akal budi, semangat cintakan tanah air yang mendalam kepada setiap pelajar. Ia juga mempunyai kaitan dengan prinsip kedua dan ketiga dalam Rukun Negara iaitu melalui pelajaran Sejarah akan dapat memupuk kesetiaan kepada raja dan negara serta memahami keluhuran perlembagaan.
Kesetiaan kepada negara adalah jiwa kebangsaan kita. Melalui semangat kesetiaan dari sanubari seseorang itu akan lahir rasa setia kepada raja dan tanah airnya yang sekali gus mampu menyatukan kita semua daripada pelbagai rumpun menjadi satu bangsa bersatu padu.
Melalui pelajaran Sejarah juga seseorang itu akan memahami keluhuran perlembagaan negara yang memberi perlindungan kepada setiap anggota masyarakat di negara ini dari segi melindungi hak dan keistimewaan mereka sebagai warga negara. Selain itu, dapat memahami bagaimana negara ini mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Perlembagaan juga meletakkan rasa tanggungjawab dan kewajipan warga negara yang mendukungnya. Sejajar dengan itu, setiap warga negara harus menghormati, menghargai serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang penggubalannya bagi memastikan Malaysia terus aman, makmur dan maju dalam segenap bidang.
Oleh sebab perlembagaan negara digubal berasaskan kesepakatan semua kaum di negara ini, maka ia merupakan kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat mana-mana pihak.
Perlembagaan negara juga adalah sumber rujukan kepada semua perkara berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio ekonomi rakyat Malaysia. Mereka yang tidak memahami sejarah saja akan mempertikaikannya.
Begitulah pentingnya mata pelajaran Sejarah di sekolah dapat mendidik, memberi kefahaman dan pengetahuan kepada rakyatnya apabila dewasa.
Sehubungan itu, semangat patriotik dapat membentuk rakyat Malaysia yang bersatu padu dan harmoni. Melalui pendidikan, berdasarkan pengetahuan dan pemahaman aspek-aspek sejarah negara, pelajar dibimbing untuk menganalisis peristiwa dan menilai fakta sejarah secara rasional.
Daripada pemahaman dan penghayatan sejarah negara, pelajar dapat membina kekuatan dalam diri dengan semangat cintakan negara.
Pendidikan Sejarah juga sebagai satu disiplin ilmu yang dinamik, dilakukan melalui pendekatan pembelajaran yang melibatkan pelajar secara aktif dan berterusan. Sehubungan itu, sejarah sebagai satu cabang ilmu perlu ditekankan sebagai ilmu yang praktikal dalam kehidupan seharian bagi memupuk dan membentuk rakyat Malaysia berjiwa patriotik.
Melalui pendidikan Sejarah, kita bukan saja mempelajari riwayat hidup mereka yang berjaya dan agung. Malah, kita juga belajar bagaimana sesebuah negara itu terbentuk dan merdeka seterusnya menjadikan rakyatnya hidup dalam aman dan sejahtera.
Sumber-http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Pendidikansejarahpengukuhpatriotisme/Article/index_html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima Kasih kerana sudi meninggalkan komen anda di sini. Sila komen dengan berhemah yer.