9 Nov 2014

Lee Chong Wei Kena Gantung Sementara Sebab Positif Dexamethasone

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus bekerjasama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memastikan Datuk Lee Chong Wei menerima hukuman minima selepas disahkan gagal dalam ujian doping.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pihak kementerian akan turut menyalurkan bantuan terbaik kepada pemain tersebut untuk mengelakkannya daripada berehat panjang dan sekali gus memberi kesan kedudukan ranking nombor satu dunia yang dipegangnya sejak beberapa tahun lepas. Beliau yang sudah mangadakan perjumpaan dengan Chong Wei, berharap pemain tersebut dapat bersabar menghadapi 'detik hitam' dalam hidup sebagai seorang bergelar jaguh badminton negara.

"Saya mendapat tahu berita ini 2 Ogos lalu dan saya telah selaraskan segala siasatan bersama Institut Sukan Negara (ISN) dan BAM termasuk berjumpa dengan atlet tersebut."Jadi, kita telah beri kerjasama yang baik kepada BAM untuk menjalankan siasatan terhadap kes ini sehingga sesi pendengaran BWF bermula nanti," katanya. Chong Wei disahkan positif bahan terlarang 'dexamethasone' dalam ujian sampel B yang dilakukan di Hospital Universiti Olso, Norway, Rabu lepas.
Sebelum ini, Timbalan Presiden BAM, Datuk Norza Zakaria mengumumkan hasil keputusan itu dalam sidang media di sini. Dengan keputusan itu, Chong Wei berdepan hukuman gantung dua tahun oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) sekiranya gagal dalam rayuannya kepada BWF.

Mengulas lanjut, Khairy berkata peguam sukan terkenal dari England, Mike Morgan telah dilantik oleh BAM untuk menyediakan segala hujah berkaitan kes doping tersebut di hadapan jawatankuasa panel pendengaran BWF. BWF bagaimanapun masih belum menentukan tarikh dan tempat yang sesuai bagi mendengar penjelasan daripada Morgan dan Chong Wei. "Selepas sesi pendengaran itu tamat, barulah BWF akan buat ketetapan sama ada atlet itu digantung ataupun tidak atau diberi amaran...Buat masa ini, kita sedang sediakan maklumat yang terperinci untuk dikemukakan dalam sesi pendengaran tersebut," menurut Khairy.

Dalam pada itu, Khairy berharap tiada yang menuding jari kepada ISN yang sepatutnya mempunyai seorang doktor pakar khusus bagi mengawal pengambilan ubat-ubatan oleh Chong Wei.

"Susahlah kalau setiap atlet perlu mempunyai doktor pakar. Dalam kes ini, atlet berkenaan telah dirujuk kepada seorang doktor pakar swasta di mana dia (Chong Wei) telah menerima rawatan dan ini bukan kali pertama dia menerima rawatan di sana. "Klinik ini menjadi rujukan kepada ISN, jadi terlalu awal untuk kita buat kesimpulan mengenai peranan dan tanggungjawab ISN," jelas Khairy.


Media tempatan sebelum ini melaporkan Chong Wei terbabit dalam skandal doping selepas bahan 'dexamethasone' ditemui dalam air kencingnya semasa ujian rawak dijalankan pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lepas. 'Dexamethasone' adalah sejenis ubat steroid dengan kesan antiradang bagi kegunaan rawatan pelbagai masalah kesihatan dan pemulihan termasuk reumatologi.

Saya Tak Pernah Menipu - Chong Wei

Datuk Lee Chong Wei berkata dia tidak pernah menipu sepanjang kerjayanya dalam sukan badminton. Pemain nombor  satu dunia itu tampil memberi kenyataan buat kali pertama selepas dia gagal dalam ujian doping apabila ujian sampel B yang dijalankan di sebuah makmal di Hospital Universiti Oslo, Norway disahkan positif.
"Saya melihat segala usaha sepanjang 15 tahun seperti tidak bermakna ketika ini. Saya terasa kehidupan saya seperti sudah musnah dan tidak tahu apa yang mahu dilakukan.
"Saya tak pernah menipu atau pun membuat percubaan untuk menipu dan ini seperti panahan petir.....membinasakan kerja keras saya selama ini.
"Saya adalah seorang yang mempercayai kepada usaha gigih dan kesungguhan untuk mencapai kejayaan dan dakwaan seperti ini membuat saya buntu dan terperanjat," kata pemain badminton tersohor negara itu kepada blogger sukan, Satwant Singh Dhaliwal dissdhaliwal.blogspot.com. pada Sabtu. Selepas menerima surat mengenai keputusan ujian doping yang dijalaninya, pemain kelahiran Pulau Pinang itu berkata isterinya telah mencadangkan agar dia pergi bercuti ke luar negara dan membiarkan pihak berkuasa mencari jalan penyelesaian."Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin) secara peribadi banyak membantu saya dalam mengharungi situasi sekarang dan saya amat menghargai bantuan bermakna daripada beliau.
"Dia membantu dan memberi saya nasihat baik bagaimana mahu menangani perkara ini," katanya. Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Norza Zakaria, pada Sabtu mengumumkan hasil ujian doping sampel B milik ikon badminton negara disahkan mengandungi dadah jenis Dexamethasone. Beliau turut menambah, mengikut peraturan Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) Perenggan 14.3 berkaitan Huraian Am, pihaknya tidak dibenarkan mendedahkan nama atlet berkenaan sehingga proses pendengaran selesai. Norza juga berkata, pemain negara itu digantung daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga selesai proses pendengaran isu doping.
P/s- Semoga Dato Lee Chong Wei terus tabah menghadapi dugaan ini


♥Like , tweet and g+ peliss ! ♥

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails