-->

10 Jan 2014

Juara Pencetus Ummah Musim Pertama Milik PU Hafiz

Tahniah buat PU Hafiz atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Mohd Haneefa yang telah diumumkan sebagai juara program Mimbar Pencetus Ummah musim pertama selepas bersaing dengan tiga peserta lain di pentas akhir yang  diadakan di Pusat Konvensyen, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) sebentar tadi.
Hafiz, 32, yang berasal dari Selangor telah memilih tajuk Pendakwah: ‘Untung Dunia, Untung Akhirat’ sebagai tazkirah untuk pusingan pertama, manakala tajuk kedua pula iaitu Kehidupan Rasulullah Sehingga Kewafatannya bagi pusingan kedua dengan tema ‘Cinta Rasulullah’.
Dengan kemenangan PU Hafiz sebentar tadi, dia telah berjaya membawa pulang sebuah kereta Prius C, wang tunai berjumlah RM50,000, pakej umrah untuk dua orang, pakej percutian halal ke China dan sebuah trofi.
Kemenangan PU Hafiz diambil selepas dia berjaya menyampaikan tazkirah dan menjawab soalan yang diajukan dengan baik dan mempunyai pengisian yang tepat selain mendapat pujian daripada juri tetap pada kedua-dua pusingan.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Shahrul Hamid dengan membawa pulang wang tunai RM30,000. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohamed Zaini dan keempat Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan, masing-masing membawa RM10,000.
Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Astro, Tun Zaki Tun Azmi; Ketua Pegawai Kewangan Astro, Rozaini Mohd Sani dan Ketua Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.
Tiga juri tetap yang mengadili para peserta terdiri daripada Datuk Ustaz Hassan Mahmud, Ustaz Kazim Elias, dan Habsah Omar (Abby Fana) serta juri jemputan Datuk Aznil Hj Nawawi.
Selain itu, Mimbar Akhir Pencetus Ummah turut dimeriahkan oleh persembahan nyanyian daripada artis popular seperti Nazri bekas ahli kumpulan Raihan, Hijjaz, Aris Ariwatan, dan pengacara undangan Fahrin Ahmad.
Program Pencetus Ummah telah dihoskan oleh Ustaz Dr Ridhuan Tee Abdullah dan disiarkan secara langsung di Astro Oasis (106).
Layari www.pencetusummah.com.my untuk info terkini program Pencetus Ummah.

7 ulasan:

Terima Kasih kerana sudi meninggalkan komen anda di sini. Sila komen dengan berhemah yer.

My Random Post

Design By Sis Hawa | Copyright Reserved By Miss Banu 2009-2017