-->

27 Mei 2016

Sinopsis Drama Seindah Takdir Cinta TV3 (Slot Akasia)

Drama Adaptasi Novel Seindah Takdir Cinta

Assalammualaikum..
Drama Seindah Takdir Cinta telah pun disiarkan di Tv3 pada 25 Mei 2016 yang lalu menggantikan Drama Duda Terlajak Laris yang telah tamat episodnya. Drama ini dilakonkan oleh pelakon popular seperti Amyra Rosli sebagai watak Mia Karmila, Saharul Ridzwan sebagai Shahriman, Redza Rosli sebagai Adrian, Haff Ridzuan, Azri Iskandar, Ifa Raziah, Lydiawati, Raja Ema, Mubarak Majid, Mahmud Ali Basha dan ramai lagi. Drama ini merupakan adaptasi daripada Novel Seindah Takdir Cinta karya Kamsiah Abu dan diarahkan oleh Zulhuzaimy. Drama ini mempunyai 28 episod dan diterbitkan oleh Zeel Production Sdn Bhd. Nampak macam menarik juga drama ni kan, apapun jom layannn sinopsis drama ni kat bawah k..

Sinopsis Drama Seindah Takdir Cinta

Mia Karmila (Amyra Rosli) anak gadis kesayangan Dato’ Kamal dan Datin Mariam yang biasa hidup dengan cara moden dan penuh kemewahan, langsung tidak menyangka pertemuannya dengan seorang pemandu teksi bernama Shahriman (Saharul Ridzwan) atau lebih mesra membahasakan dirinya Aiman telah berjaya merubah keseluruhan cara hidupnya. Mempunyai didikan agama yang sangat baik membuatkan Mia tertarik untuk mendekati islam melalui Aiman yang tidak diperolehi daripada kedua-ibu bapanya. Melalui beberapa pertemuan yang tidak pernah dirancang telah membenihkan bibit-bibit cinta yang tulus dalam hati mereka. Adrian (Redza Rosli), masih muda tapi sudah memegang jawatan besar sebagai CEO di syarikat milik bapanya Tan Sri Effendi. Selain bergaya dan kaya-raya, Adrian juga memiliki perangai playboy dan sering sahaja berpoya-poya. Adrian juga tidak putus asa untuk menjinakkan Mia Karmila sebagai kekasih untuk memenuhi kerakusan nalurinya, walaupun ramai perempuan lain bersedia untuk memenuhi segala kehendaknya termasuk Zetty, sahabat Mia sendiri. Perubahan sikap Mia Karmila benar-benar mencabar kelelakian Adrian sehingga dia bertekad, walau apa pun syarat yang diminta Mia Karmila, Adrian tidak peduli. Yang pasti Mia Karmila menjadi miliknya. Tekad Adrian menjadi bertambah kuat apabila kedua ibu bapanya dan juga ibu bapa Mia Karmila bagaikan menggalakkan dan merestui niatnya itu.


Dalam kepayahan dan kepiluan yang mencengkam jiwa, Mia Karmila terpaksa juga menerima ijab kabul Adrian apabila lelaki itu telah berjaya memenuhi setiap syarat yang dipintanya. Pilu di hati Mia Karmila bertambah parah apabila mengetahui Shahriman adalah dalang yang membolehkan Adrian menikahinya. Siapakah Shahriman sebenarnya? Namun hanya ALLAH yang sesungguhnya maha mengetahui segala apa yang diaturkannya. Adrian terpaksa di masukkan ke hospital sebaik sahaja dia dan Mia Karmila dinikahkan. Sebagai seorang gadis solehah, Mia Karmila sedar akan tanggung jawabnya di sisi Adrian kini seandainya Syurga ALLAH adalah tujuan destinasinya. Dengan itu Mia Karmila bertekad menjadi seorang isteri yang sentiasa diredhai oleh suaminya untuk mendapatkan Syurga ALLAH itu. Maka dengan seikhlas hatinya Mia Karmila cuba melupakan Shahriman dan terus tabah menjaga Adrian di hospital. Bagaimanakah dapat Mia Karmila meneruskan hari-hari kehidupannya menjaga Adrian di hospital manakala hubungan Shahriman dengan keluarga Adrian semakin rapat, dan dengan itu juga membuatkan dia dan Shahriman sering bertentang mata.


Ia juga bagaikan luka lama berdarah kembali bagi Shahriman ketika menemankan Adrian dan Mia Karmila serta ibu bapa mereka menunaikan Ibadah Umrah di Mekah. Shahriman benar-benar tidak mampu lagi untuk terus menyorokkan segala derita jiwa dan hatinya yang gersang selama ini apabila melihat gadis yang pernah bertahta di hatinya itu menerima segala ujian dan dugaan ALLAH dengan begitu ikhlas dan tulus. Demi cintanya pada Mia Karmila yang tidak pernah luak walau sezarah pun, Shahriman terus berusaha untuk mendapatkan kembali cinta itu walau pun dia tahu cinta Mia Karmila kini hanyalah untuk Adrian apabila kedua suami isteri itu mengakuinya di hadapan Baitullah.
Berjayakan Shahriman memujuk dan mendapatkan kembali cinta Mia Karmila yang pernah direlakannya untuk diberikan kepada Adrian?

Lagu Tema / OST Drama Seindah Takdir Cinta
--> Takdir Cinta Nyanyian Fauziah Latiff..



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima Kasih kerana sudi meninggalkan komen anda di sini. Sila komen dengan berhemah yer.

My Random Post

Design By Sis Hawa | Copyright Reserved By Miss Banu 2009-2017